JPJ P.Pinang keluarkan 43 saman tidak pakai tali pinggang keledar

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 43 notis saman terhadap pemandu yang tidak mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar dalam operasi di sekitar Seberang Jaya, di sini, semalam.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penguatkuasaan itu dijalankan menerusi Ops Tali Pinggang Keledar oleh Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) selama tiga jam bermula 11 pagi.

“JPJ Pulau Pinang menasihatkan pemandu dan pengguna kenderaan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya semasa memandu serta memakai tali pinggang keledar kerana ia boleh mengurangkan risiko kecederaan parah dan kehilangan nyawa,” menurut kenyataan itu. – Bernama