Kadar penginapan hotel di Pulau Pinang hampir cecah 100 peratus

GEORGE TOWN: Kadar penginapan hotel di Pulau Pinang mencecah hampir 100 peratus buat pertama kali tahun ini pada bulan Disember sepanjang tempoh era pasca-pandemik.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin (pix) berkata menjelang akhir tahun ini, negeri itu siap siaga menyambut lebih ramai ketibaan pengunjung bukan sahaja pelancong tempatan tetapi juga antarabangsa dari negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Yeoh berkata beliau telah menerima maklum balas daripada pihak hotel yang mendapat kadar penginapan tinggi bulan ini.

“Kadar penginapan hotel bagi bulan Disember ialah kira-kira 80 hingga 100 peratus. Kebanyakan hotel telah mencecah kadar tempahan 100 peratus kali ini,“ katanya kepada pemberita selepas upacara penyampaian hadiah bagi Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2022 di sini hari ini.

Beliau juga berkata memandangkan jumlah pelancong semakin meningkat, hotel di Pulau Pinang telah ditempah sepenuhnya dari Oktober hingga Disember tahun ini. – Bernama