Kakitangan hospital didakwa memandu bawah pengaruh alkohol

IPOH: Seorang kakitangan sebuah hospital awam yang ditahan selepas mengamuk dan memukul dua orang pegawai rendah polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan ketika di bawah pengaruh alkohol.

Jazvinjit Singh, 30, didakwa sebagai pemandu sebuah kereta telah memandu kenderaan itu dengan kadar alkohol melebihi had yang ditetapkan iaitu 167 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah, lebih 117mg daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg per 100ml.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Pos Pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh di Jalan Lapangan Terbang Off Jalan Angsana di sini pada 12.10 tengah malam, Jumaat lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 serta maksimum RM30,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. M Moganaraj Mithra manakala Jazvinjit diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes.

Pada Jumaat lepas, polis menahan lelaki itu yang disyaki di bawah pengaruh alkohol selepas mengamuk dan memukul dua orang pegawai rendah polis di hadapan PLPGU.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dilaporkan berkata lelaki berkenaan terlanggar pengadang jalan berhampiran pos pengawal sebelum mengamuk semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya. – Bernama