Kebajikan golongan miskin tegar terus terbela menerusi rebat elektrik

KUALA LUMPUR: Kebajikan golongan miskin tegar di negara ini terus menjadi keutamaan kerajaan menerusi pemberian rebat elektrik sehingga RM40 sebulan kepada golongan itu seperti pengumuman Belanjawan 2024, Jumaat lepas.

Pemberian rebat itu dilihat mampu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang tinggi ketika ini sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib golongan miskin tegar di negara ini.

Suri rumah Diana Lokman, 40, berkata langkah kerajaan meneruskan pemberian rebat elektrik itu memperlihatkan usaha berterusan kerajaan meringankan beban rakyat terutamanya golongan susah dan bekeperluan untuk mendapat bantuan manfaat yang terus kepada golongan sasar.

“Jadi dengan pemberian rebat ini, bil bulanan yang saya perlu bayar hanya sekitar RM15 atau kurang daripada itu kerana penggunaan bulanan biasanya sekitar RM50, saya tidak gunakan penyaman udara atau penapis air elektrik dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata pemberian rebat ini adalah langkah yang sangat baik dalam menjaga kebajikan golongan miskin tegar kerana melalui inisiatif ini, mereka akan menikmati elektrik percuma atau hampir percuma setiap bulan.

“Kita tahu kalau keluarga daripada kalangan miskin tegar ini, perkakas elektrik di rumah mereka biasanya tidak sebanyak golongan berkemampuan dan berdasarkan pengalaman saya, ada antara mereka bil elektrik sekitar RM30 hingga RM50.

“Jadi kalau bil mereka bawah RM40, sudah tentu mereka tidak perlu membayar penggunaan elektrik pada bulan tersebut dan jika bil elektrik mereka mencecah RM50 sekalipun, mereka hanya perlu bayar RM10 bil elektrik untuk bulan tersebut,” katanya.

Beliau berkata pemberian rebat RM40 cukup bermakna bagi keluarga miskin tegar kerana dengan RM40 itu mereka boleh gunakan untuk membeli makanan yang lebih diutamakan.

“Berdasarkan program yang saya pernah buat di peringkat akar umbi, memang ada yang tidak tahu kewujudan bantuan kerajaan dan ini sekali gus menyebabkan inisiatif kerajaan tidak mencapai matlamatnya.

“Jadi pada saya, mungkin kerajaan boleh adakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diumumkan kerajaan disampaikan para guru kepada anak-anak murid mereka dari kategori miskin tegar,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar diteruskan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam memastikan usaha ini mencapai matlamatnya, kerajaan telah memperuntukan RM55 juta bagi pelaksanaannya. – Bernama