Kerajaan akan teliti bawa masuk lebih banyak EV mampu milik: Nik Nazmi

BANGI: Kerajaan akan meneliti usaha untuk membawa masuk lebih banyak kenderaan elektrik (EV) mampu milik yang bernilai kurang RM100,000 ke pasaran tempatan untuk memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh untuk memilikinya dengan harga mampu milik.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata kebanyakan EV sekarang berharga lebih RM100,000, jadi untuk majoriti besar rakyat Malaysia nilai itu di luar kemampuan mereka.

“Antara faktor penting, sekarang Proton akan bawa masuk kenderaan Geely dalam masa terdekat tetapi itu dari luar negara. Jika kita dapat pasang kenderaan itu di Malaysia mungkin ia akan membantu kita untuk menawarkan EV (dengan kos) lebih rendah,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Stesen Pengecasan EV Bangi Golf Resort dan penyerahan lesen pengagihan awam sistem pengecas EV oleh Suruhanjaya Tenaga di sini hari ini.

Mengenai majlis pelancaran dan penyerahan lesen oleh Suruhanjaya Tenaga itu, Nik Nazmi berkata ia adalah proses supaya pemasangan stesen pengecas berada dalam keadaan selamat dan dikawal selia.

“Kerana industri ini sedang berkembang. Jadi kita hendak pastikan ada peraturan dan piawaian yang dapat dicapai oleh syarikat-syarikat yang memberi kemudahan pengecas. Kita tahu bahawa jika kita tidak scale up stesen pengecasan ini, ia tidak akan menyokong pengembangan kenderaan elektrik.

“Kita juga berharap dengan adanya standard ini mampu memberi keyakinan kepada orang ramai untuk membeli EV,“ kata Nik Nazmi.

Beliau berkata pengembangan industri EV di dalam negara juga adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mencapai masa depan yang rendah karbon.

Selain itu, ditanya mengenai insentif kepada rakyat untuk pemilikan EV, Nik Nazmi berkata pihaknya akan melihat bagaimana Belanjawan 2023 atau Belanjawan 2024 dapat ditambah baik untuk insentif itu.

Katanya, beliau juga akan melihat bagaimana kerajaan memainkan peranan dengan kerjasama syarikat-syarikat automotif untuk membawa lebih banyak EV mampu milik ke pasaran tempatan.

Ditanya mengenai perincian tarif elektrik yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Kabinet hari ini, beliau berkata perkara itu akan diumumkan menerusi kenyataan akhbar yang akan dikongsikan dalam masa terdekat.-Bernama