Kerajaan peruntuk RM50 juta untuk usahawan francais tahun ini: Ewon

SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini untuk menyediakan skim pembiayaan bagi membantu usahawan francais, menurut menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata peruntukan itu meliputi Skim Pembiayaan Francaisi/Francaisor, Skim Pembiayaan Pra-Francais/ Pra-Francaisor; Skim Pembiayaan Pra-Francais (Lisensor/Lisensi), Skim Pembiayaan BIT Pra-Francaisor/Pra-Francaisi dan Skim Recurve.

“Sehingga 31 Dis 2022, sebanyak RM299 juta pembiayaan francais disediakan kepada 1,859 usahawan francais melalui pelbagai skim pembiayaan.

“Sebagai agensi di bawah Kuskop, Pernas berperanan untuk pembangunan usahawan francais. Pernas juga akan memberikan pelbagai bantuan dan sokongan kepada usahawan termasuk kemudahan pembiayaan, latihan dan membuka peluang kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meneroka bidang keusahawanan francais,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Business in Transformation Expo 2023 (BITe) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kuskop K.Saraswathy dan Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin.

Katanya penganjuran BITe 2023 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir esok mampu menggalakkan penyertaan usahawan baharu selain membantu usahawan mikro dan kecil memperkenalkan model perniagaan dan mengembangkan jenama.

Selain itu, Ewon berkata program Business In-Transformation (BIT) mampu membantu usahawan mikro dan kecil menjalankan perniagaan dengan lebih kompetitif serta efisien.

Beliau berkata sehingga 31 Dis 2022, Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 313 usahawan BIT berjumlah RM9.9 juta.

“Pakej pembiayaan pra-francaisi BIT juga telah ditambah baik dengan kemudahan pembiayaan sehingga RM50,000 untuk memberi peluang kepada bakal usahawan memiliki konsep perniagaan lebih baik.

“Penambahbaikan ini telah memberi peluang kepada ramai peniaga mikro dan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan penambahan outlet,” katanya.

Sementara itu, Hazimah berkata pihaknya menyasarkan untuk membangunkan 24 pra-francaisor dan 240 pra-francaisi daripada kalangan usahawan BIT pada tahun ini dalam usaha meramaikan lagi usahawan sekali gus memperbanyakkan jenama francais tempatan.

“Apa yang membanggakan, penyertaan usahawan mikro dalam program BIT telah melahirkan seramai 1,400 pra-francaisi sekali gus mencipta lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu,“ katanya. – Bernama