Kerajaan suntik pinjaman RM152.6 juta untuk siapkan OPV1: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disiapkan tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata projek OPV itu kini diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

“Kita terpaksa berikan satu lagi bentuk suntikan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan.

“Dari tinjauan kita projek ini boleh disiapkan iaitu OPV pertama dalam tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini telah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan APMM bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan OPV. APMM dalam kenyataan pada 13 Sept 2022 berkata tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata kapal OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

Anwar berkata masalah berkaitan projek-projek yang melibatkan pasukan keselamatan di KDN dan Kementerian Pertahanan akan cuba diselesaikan.

“Perkara perolehan sama ada KDN dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan, hingga menyebabkan kerugian disebabkan pelaksanaan lemah.

“Tindakan pertama mesti selamatkan dan disiapkan mengikut jadual, dan keduanya tidak lepaskan sesiapa yang salah guna kuasa, kaut kekayaan, tanpa siasatan,” katanya.-Bernama