Kertas rayuan pengampunan Najib tidak dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Jumaat lepas

KUALA LUMPUR: Kertas rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-59 yang bersidang Jumaat lepas di Istana Negara.

Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkata pada mesyuarat itu, Lembaga Pengampunan tersebut telah mempertimbangkan sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.

“Mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama