Kes HFMD di Kedah menurun 24.4 peratus

ALOR SETAR: Kedah mencatatkan penurunan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 24.4 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24) iaitu bagi tempoh 12 hingga 18 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata pada ME24 itu, sebanyak 531 kes HFMD baharu telah dicatatkan berbanding 702 kes pada minggu sebelumnya.

“Ini menjadikan jumlah kes HFMD di Kedah dari 1 Jan hingga 18 Jun lalu sebanyak 5,425 kes. Satu wabak baharu HFMD juga telah dilaporkan (pada ME24) melibatkan sebuah taska dan premis berkenaan telah diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 1,337 kes diikuti Kulim (806 kes), Kubang Pasu (797 kes) dan Kota Setar dengan 537 kes. Bagaimanapun kesemua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan tiada kes yang mengalami komplikasi teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata dalam tempoh 1 Jan hingga 18 Jun lepas, sebanyak 51 wabak HFMD telah dilaporkan di Kedah dengan 50 daripadanya berlaku di pusat pendidikan awal iaitu taska, tadika dan prasekolah.

“Premis-premis berkenaan telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi dan mencegah jangkitan.

“Ibu bapa dan pengusaha pusat jagaan serta pendidkan awal diminta untuk mengamalkan kebersihan yang baik dan melakukan proses nyah kuman pada permukaan yang sering disentuh bagi mengelak jangkitan daripada berlaku,” katanya. – Bernama