K’jaan Negeri Sembilan fokus pemuliharaan penyu di Port Dickson: Exco

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi fokus dalam aktiviti pemuliharaan penyu yang merupakan antara daya tarikan pelancongan di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Bakri Sawir.

Beliau berkata kepupusan reptilia terancam ini sangat membimbangkan kerana ia merupakan satu daripada khazanah laut berpotensi menjadi daya tarikan pelancong di Port Dickson.

“Memang pelancongan melibatkan penyu ini dapat memberi pendapatan kepada negeri ini. Orang ramai boleh mengambil peluang melihat penyu tanpa perlu semata-mata ke Terengganu.

“Bagaimanapun, dalam apa juga keadaan, kita tidak mahu habitat marin ini diganggu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Outreach Konservasi Penyu Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) di Glory Beach Resort di sini.

Beliau berkata hanya terdapat tiga pemungut telur penyu berdaftar dan pihak Glory Beach Resort yang diberi kebenaran bersyarat menjalankan peranan konservasi atas tujuan pemuliharaan spesies ini.

Glory Beach Resort merupakan satu-satunya pihak swasta yang diberi kebenaran untuk menjalankan aktiviti pengeraman telur di tempat penetasan selain galeri pameran.

Katanya, pihak hotel disyorkan melepaskan penyu berusia lebih lima tahun bagi membolehkan haiwan tersebut membiak dan mencari makan dengan sendiri.

“Susulan itu, tiga ekor penyu agar berusia dua tahun milik Pusat Ikan Hiasan Port Dickson telah diserahkan kepada pihak hotel bagi menggantikan penyu yang dilepaskan,” katanya.

Bakri dan pihak JPNS menyeru orang ramai agar bersama-sama menjaga ekosistem marin dengan tidak membuang sampah ke laut yang boleh menjejaskan kehidupan laut itu serta melaporkan jika terdapat penyu mati terdampar atau menetas di sepanjang pantai di negeri ini.-Bernama