K’jaan Selangor sedia dedah laporan kepada waris

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor bersedia mendedahkan laporan penuh tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm (FOF) di Batang Kali, Hulu Selangor kepada waris mangsa terlibat sekiranya menerima permohonan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata laporan itu sudah disediakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) namun hanya boleh didedahkan atas permintaan waris.

“Kalau ada permohonan, kita akan boleh keluarkan secara bertulis. Insya-Allah, saya juga akan bawa ke mesyuarat exco dalam masa terdekat untuk kenal pasti punca kuasanya,” kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Ampang dekat sini hari ini.

Semalam, media melaporkan keluarga mangsa menggesa kerajaan agar segera mendedahkan hasil laporan siasatan insiden tersebut.

Malah mereka juga mahu kerajaan bertindak segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi yang mengorbankan seramai 31 mangsa termasuk 13 kanak-kanak.

Tragedi pada kira-kira 2.30 pagi 16 Dis itu berlaku disebabkan runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan FOF. – Bernama