Koc LRT dihias khas sempena Hari Malaysia, semarak rasa kasih sayang kepada negara

KUALA LUMPUR: Koc tren Aliran Transit Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang dihias khas sempena sambutan Hari Malaysia dilihat sebagai usaha yang selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan rasa kasih sayang kepada negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar).

Hiasan koc berkenaan yang bertemakan “Cerita Malaysiaku” akan beroperasi secara berterusan mulai hari ini, kata Fahmi sambil sambil menyeru pihak berkaitan untuk berganding bahu dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam menghias lebih banyak koc tren di laluan LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) pada masa hadapan.

“Koc ini salah satu daripada koc sedia ada tapi dihias dan diperagakan dengan pelbagai fakta dan maklumat, sama ada simbol penting untuk negara macam bunga, harimau, tempat-tempat menarik dalam negara, makanan dan lain-lain.

Usaha ini selaras dengan usaha kita sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia jadi saya harap pada masa depan kita dapat hias lebih banyak koc di LRT, MRT dan laluan lain untuk menyemarakkan lagi rasa kasih sayang kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan koc khas berkenaan di stesen LRT KLCC di sini, hari ini.

Tren LRT berkenaan mempunyai empat koc dibalut khas dan dihiasi dengan visual yang memaparkan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan budaya, serta setiap koc dihias dengan elemen berlainan yang menonjolkan identiti Malaysia.

Sementara itu, pekerja swasta Rizal Suhaimi, 26, ketika ditemui mengumpamakan hiasan khas itu umpama maskot Hari Malaysia yang amat berkesan kerana LRT laluan Kelana Jaya merupakan satu laluan popular dalam kalangan penumpang.

“Saya rasa hiasan khas ini boleh mendapat perhatian segera dari penumpang… selama ini corak koc tren LRT kebanyakan biasa-biasa saja, jadi adanya tren yang tidak dinafikan menarik perhatian ini, berwarna-warni sedikitlah Hari Malaysia tahun ini,” katanya.

Louise Anderson, 34, seorang pelancong dari England yang menaiki LRT dari KL Sentral berharap dapat melihat lebih banyak lagi hiasan khusus Hari Malaysia pada masa akan datang supaya lebih ramai pelawat asing mendapat pendedahan mengenainya dengan lebih berkesan.

“Saya tidak menumpukan perhatian sangat terhadap risalah-risalah mengenai sejarah dan kebudayaan Malaysia tetapi bila melihat hiasan seperti ini, ia sukar dilupakan dan akan menggalakkan lagi saya untuk membuat carian dalam talian mengenai apa yang ditawarkan negara ini. Hiasan khas ini merupakan satu permulaan yang baik,” katanya. -Bernama