Kontinjen Malaysia hampiri sasaran Sukan Asia

HANGZHOU: Kontinjen Malaysia semakin hampir mencapai sasaran di Sukan Asia apabila hanya memerlukan tujuh butir pingat untuk melepasi sasaran 27 pingat yang ditetapkan dengan tuan rumah, China megah di kedudukan pertama pada Hari Kebangsaannya.

Pada hari kelapan pertandingan hari ini, kem terjun negara meneruskan rentak baik untuk menghadiahkan sebutir perak dan gangsa walaupun sukar menggugat kuasa besar sukan terjun dunia, China yang terus cemerlang menyapu kesemua empat pingat emas yang dipertandingkan setakat ini.

GandinganWendy Ng- Nur Dhabitah Sabri berjaya menghadirkan pingat pertama hari ini dengan mempertahankan pingat perak acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Kemudian, Bertrand Rhodict Lises-Enrique Maccartney Harold yang beraksi buat kali pertama di Sukan Asia, turut pamer aksi baik untuk meraih gangsa acara 10m platform seirama lelaki.

Secara keseluruhannya, kem terjun telah menyumbang sebutir perak dan tiga gangsa setakat ini, selepas gandingan Nur Dhabitah-Datuk Pandelela Rinong dan Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang masing-masing meraih gangsa 10m platform seirama wanita dan 3m papan anjal seirama lelaki.

Selain daripada pencapaian kem terjun, ia adalah hari yang agak suram bagi Malaysia apabila prestasi beberapa atlet lain kurang memberangsangkan manakala beberapa sukan masih beraksi di peringkat awal.

Pasukan e-sukan bagi acara Dota2 gagal meloloskan diri ke final selepas tewas 1-2 kepada pasukan tuan rumah dan seterusnya bakal bertembung dengan Kyrgyzstan dalam penentuan gangsa, esok.

Pasukan hoki wanita pula menghidupkan kembali peluang untuk mara ke separuh akhir selepas membelasah Singapura 8-1 dalam aksi ketiga Kumpulan A.

Di arena olahraga, Russel Alexander Nasir Taib dan Queenie Ting Kung Ni gagal mempamerkan prestasi terbaik mereka, masing-masing dalam acara 200m lelaki dan lempar cakera wanita.

Kem memanah yang membuka kempen dengan pusingan kelayakan hari ini, turut beraksi baik apabila tujuh pemanah meloloskan diri ke pusingan kalah mati bermula esok.

Malaysia kini menduduki tempat ke-14 pada carta kedudukan pingat dengan tiga emas, empat perak dan 13 gangsa, manakala China terus mempamerkan dominasi dengan merangkul sejumlah 133 pingat emas, 72 perak dan 39 gangsa sempena Hari Kebangsaannya.

Esok, Malaysia akan meneruskan cabaran dalam acara badminton, skuasy, terjun, olahraga, memanah, kabbadi dan kriket manakala pasukan hoki lelaki wajib menang ke atas tuan rumah untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. – Bernama