Korda guna Kejohanan Maybank untuk lonjak pada penghujung musim di Florida

KUALA LUMPUR: Penyandang juara Olimpik, Nelly Korda (gambar) berharap dapat menggunakan Kejohanan Golf Maybank di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) esok untuk bersedia melakukan lonjakan terakhir pada dua kejohanan penghujung musim di halamannya di Florida, bulan depan.

Bekas pemain wanita nombor satu dunia berusia 25 tahun itu yang juga anak kepada bekas bintang tenis Petr Korda mengharungi musim secara tidak konsisten sejak kecederaan belakang pada Mei lalu, mencapai kedudukan tujuh 10 terbaik dalam 12 kejohanan Jelajah LPGA.

Namun, pemain Amerika Syarikat itu bertekad untuk menggunakan Kejohanan Maybank dan Kejohanan Toto Japan pada hujung minggu depan untuk mempersiapkan diri bagi mempertahankan gelaran kali ketiga berturut-turut di The Annika, di Kelab Golf Pelican,Florida dari 9 hingga 12 Nov ini.

Pemain nombor enam dunia itu akan menyertai dalam acara penutup musim Jelajah LPGA – Kejohanan Jelajah Kumpulan CME di Kelab Golf Tiburon di Florida dari 16 hingga 19 Nov ini.

“Saya masih belum berada dalam keadaan terbaik selepas kecederaan. Saya fikir musim ini agak naik turun, ada penamat yang sangat baik. Pada awal tahun, permainan terasa sangat mudah, tetapi kemudian saya cedera dan momentum musim saya benar-benar berubah,“ katanya dalam sidang media di KLGCC, hari ini.

Korda berkata beliau berharap perubahan dalam corak dan rentak permainannya akan berlaku minggu ini dan teruja beraksi di negara ini selepas kali terakhir pada Kejohanan Sime Darby LPGA pada 2017.

Sementara itu, pemain nombor dua dunia, Yin Ruoning, yang akan memulakan saingan di Malaysia untuk kali pertama juga gemar dengan cuaca panas di sini dengan menyifatkan ia sama dengan musim panas di Shanghai.

“Pada minggu ini, banyak rakan-rakan menghantar mesej kepada saya, berkata ‘anda berpeluang untuk menduduki tempat pertama dalam ranking dunia’, tetapi bagi saya, saya rasa masih membuat beberapa penyesuaian terhadap hayunan saya.

“Tetapi, saya hanya ingin menikmati bandar ini, menikmati bermain golf di Malaysia dan hanya melakukan yang terbaik. Saya tidak mahu terlalu banyak berfikir tentang itu,“ kata pemain China itu.

Kejohanan Maybank bermula esok hingga Ahad ini menawarkan hadiah wang tunai US$3 juta (sekitar RM14.34 juta) dan disertai 78 pemain termasuk enam daripada 10 pemain wanita terbaik dunia. –Bernama