KPDN belum terima laporan harga sayur susulan banjir

BATU PAHAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) belum menerima sebarang laporan mengenai kenaikan harga sayur-sayuran susulan kemungkinan bekalan terjejas akibat banjir.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata selepas musim tengkujuh yang lepas, harga sayur-sayuran telah turun secara mendadak.

Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya telah bersedia berdasarkan hujan luar jangka di Johor, yang berkemungkinan menjejaskan bekalan.

“Bila berlakunya tengkujuh dan berlakunya hujan lebat luar jangka ini, pastinya banyak kebun-kebun sayur-sayuran yang musnah.

“Jadi KDPN bersedia menghadapinya dan kita akan adakan perbincangan, secepat mungkin dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk kita atasi isu ini,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Pekan Parit Yaani, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada menerima laporan berhubung kenaikan harga sayur-sayuran, susulan kekurangan bekalan akibat banjir.

Hujan yang berterusan sejak Isnin, telah mengakibatkan ramai pekebun kecil terjejas teruk akibat banjir yang melanda bermula Selasa.

Sementara itu, Salahuddin berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menggantikan semula Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan, kepada pemilik perniagaan yang musnah akibat banjir secara percuma.

Beliau berkata peniaga yang kehilangan atau musnah sijil tersebut dalam kejadian banjir seluruh negara, boleh terus datang ke Pejabat KPDN terdekat untuk tujuan itu.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata ia sebagai sebahagian inisiatif dan usaha kerajaan, untuk membantu mangsa banjir dalam kalangan peniaga.

Untuk bantuan kepada mangsa banjir pula, Salahuddin berkata KPDN ada memohon bantuan rakan strategik seperti Mydin, Econsave, Lazada, Shopee dan beberapa pemain industri yang lain, untuk turut sama membantu meringankan beban mangsa banjir pada kali ini.

“Alhamdulilah, pemain industri dan rakan-rakan strategik telah dengan segera menghulurkan bantuan dalam bentuk makanan, selimut, bantal, yang diperlukan di saat musim sejuk semasa banjir,” kata beliau. – Bernama