KPDNHEP jamin mencukupi, tiada kegiatan sorok

NILAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan telur ayam di seluruh negara mencukupi meskipun beberapa kawasan ketika ini mengalami kekurangan kuantiti.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof berkata pihaknya sentiasa memantau bekalan telur ayam di pasaran selain turut bekerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berhubung perkara itu.

Beliau berkata hasil pemantauan pihaknya turut mendapati tiada aduan diterima berhubung kes sorok bekalan telur ayam oleh mana-mana pihak khususnya peniaga setakat ini dan tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya wujud kegiatan terbabit.

“Saya ke beberapa negeri termasuk Melaka, Johor, Terengganu dan Langkawi. Memang ada sedikit isu tentang kuantiti tidak mencukupi tetapi bekalan ada. Ada yang saya lihat jualan sebelah pagi dah selesai, petang isi semula, ini menunjukkan kita masih ada bekalan yang baik.

“Malah, saya turut berhubung dengan Ketua Setiausaha MAFI dan pegawai kita hari ini ada perbincangan teknikal dengan beberapa kementerian bagi memastikan bekalan telur cukup untuk pasaran pengguna. Jadi, krisis secara menyeluruh dengan hampir semua bekalan terputus tidak berlaku,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan makanan di sebuah pasar raya sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali selama seminggu hingga Rabu ini, di sini.

Dalam pada itu, Azman berkata faktor kekurangan kuantiti bekalan telur ayam di kawasan tertentu kemungkinan berikutan masalah pembayaran, pengangkutan, logistik dan lokasi yang jauh menyebabkan penghantaran bekalan sedikit terganggu.

Beliau turut berharap mana-mana pemain industri bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan bekalan makanan khususnya barangan basah mencukupi di pasaran dengan harga berpatutan terutama menjelang Deepavali.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata sejak Januari hingga September lepas, 708,230 premis diperiksa di seluruh negara dan 9,421 tindakan kes diambil melibatkan pelbagai kesalahan termasuk berkaitan bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan, cetak rompak, barang tiruan, halal dan sewa beli dengan rampasan berjumlah RM93.86 juta.

Selain itu, menurutnya KPDNHEP turut melupuskan pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, aksesori dan barangan elektronik membabitkan nilai keseluruhan RM 24.61 juta bagi tempoh sama.

Katanya pelupusan barang rampasan itu melibatkan tindakan kes di bawah pelbagai kesalahan antaranya Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999. – Bernama