Ku Li tewas tipis di Gua Musang

GUA MUSANG: Percubaan Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12, gagal apabila beliau tewas mengejut kepada calon PAS-Bersatu Datuk Mohd Azizi Abu Naim dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili Barisan Nasional (BN), mendapat 21,663 undi.

Keputusan itu telah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang Ab Pattah Hasbullah.

Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

Beliau bertanding di Parlimen Ulu Kelantan (kini dikenali sebagai Parlimen Gua Musang) pada 1974.

Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi selepas menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.-Bernama