Laporan penuh banjir di Baling dijangka dibentang minggu depan

BALING: Laporan penuh daripada agensi kerajaan berkaitan mengenai banjir dan fenomena kepala air yang mengorbankan tiga nyawa termasuk ibu hamil empat bulan di Kupang dekat sini pada 4 Julai lepas dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata bencana itu diberikan keutamaan supaya jalan penyelesaian dapat segera dicari bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

“Sepanjang minggu ini, isu banjir dan fenomena kepala air banyak dibincangkan bahkan semalam, saya mengadakan pertemuan selama kira-kira 45 minit bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya memberi penerangan terperinci mengenai kejadian tersebut termasuk keadaan di situ kira-kira lapan bulan yang lalu iaitu sebelum berlakunya tragedi ini,“ katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan banjir kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Arab Yayasan Khairiah dekat sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri telah mengarahkan tiga agensi berkaitan iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) membuat kajian dan mengenal pasti kaedah berkesan bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

Pada majlis itu, sebanyak 410 tilam diserahkan kepada pihak sekolah untuk ditempatkan di tingkat 1 bangunan asrama yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir.

Abdul Azeez juga berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban pihak sekolah kerana pelajar akan kembali ke asrama mulai Sabtu ini sebelum sesi persekolahan bermula pada 24 Julai.

“Proses pemulihan di sekolah ini sudah sekitar 70 peratus manakala 30 peratus lagi sedang dalam proses baik pulih… ini termasuklah kerosakan yang berlaku pasca banjir antaranya pendawaian semula elektrik.

“Esok kita akan turun lagi untuk menyerahkan sumbangan barangan lain kepada kira-kira 40 rumah dari tiga kampung iaitu Kampung Jerai, Kampung Hangus dan Kampung Pisang yang terletak berhampiran sekolah,“ katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan membantu kakitangan sekolah itu yang terjejas termasuk dari segi bantuan memperbaiki kenderaan yang rosak secara percuma. – Bernama