Lawatan Anwar ke Turkiye cerminkan solidariti kepada mangsa dan suntik motivasi untuk pasukan penyelamat M’sia: Duta

KUALA LUMPUR: Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye bukan sahaja mencerminkan solidariti bersama rakyat Turkiye yang terjejas akibat gempa bumi, tetapi juga untuk menyatakan sokongan ikhlasnya dan menyuntik motivasi kepada anggota pasukan penyelamat Malaysia yang bertugas di kawasan bencana.

Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Anwar serta rakyat Malaysia atas solidariti dan altruisme terhadap mangsa gempa bumi.

Beliau berkata lawatan itu jelas menunjukkan perdana menteri Malaysia memahami masalah yang dihadapi rakyat Turkiye ketika ini.

“Kerajaan Turkiye-Malaysia menjalin hubungan rapat dan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Malaysia (Anwar) adalah kawan rapat presiden kami (Recep Tayyip Erdogan).

“Beliau (Anwar) memutuskan untuk melihat sendiri Pasukan Bantuan dan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) bertugas di lokasi bencana. Jadi ia (bersolidariti) dengan kami dan pasukan Malaysia…ia adalah satu inisiatif yang baik,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program ‘The Brief’ Bernama TV bertajuk ‘Turkiye Quake and Global Relief Efforts’ di Wisma Bernama di sini.

Anwar berlepas ke Turkiye malam tadi untuk memberi sokongan moral kepada Erdogan dan rakyatnya yang terjejas akibat bencana alam pada 6 Februari lalu hingga meragut puluhan ribu nyawa.

Beliau berlepas ke Ankara dengan menaiki pesawat khas kira-kira 11.15 malam dari KLIA.

Perdana Menteri Malaysia memutuskan untuk membuat lawatan berkenaan atas permintaan Erdogan.

Malaysia telah menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membantu mewujudkan hospital lapangan yang dikendalikan oleh angkatan tentera bagi menyediakan perkhidmatan perubatan.

Anwar sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM20 juta kepada Turkiye dan Syria yang turut terjejas akibat gempa bumi itu.

Jumlah kematian akibat bencana yang dahsyat itu kini melebihi 35,000 nyawa.

Mengenai peranan Malaysia dalam membantu membina dan membangunkan semula wilayah yang terjejas akibat gempa bumi, Yuksel berkata pelan pembinaan semula perlu dirangka oleh kerajaan Turkiye kerana ia melibatkan kawasan yang luas.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, sebuah syarikat pembinaan di Turkiye dijangka menyiapkan pembinaan semula bangunan yang runtuh dalam tempoh setahun.

Hospital lapangan yang dibina Malaysia mungkin dikekalkan untuk tempoh beberapa tahun, katanya. –Bernama