Lebih 135 maut dalam pertempuran di penjara Syria

HASAKEH: Jumlah kematian akibat pertempuran antara tentera Kurdish yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan pejuang kumpulan IS yang menyerang sebuah penjara di timur laut Syria empat hari lalu mencecah 136 orang semalam, kata seorang pemantau perang.

Lebih 100 pemberontak pada Khamis menyerang penjara Ghwayran yang dikendalikan Kurdish di bandar Hasakeh untuk membebaskan rakan jihad dalam operasi ketenteraan IS yang paling penting sejak khalifahnya yang diisytiharkan sendiri ditewaskan di Syria hampir tiga tahun lalu.

Pertempuran sengit di dalam dan di luar penjara menyaksikan militan membebaskan tahanan dan merampas senjata yang disimpan, menurut Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain.

Kebimbangan terhadap nasib ratusan kanak-kanak di dalam penjara memuncak.

“Sekurang-kurangnya 84 anggota IS dan 45 pejuang Kurdish termasuk pasukan keselamatan dalaman, pengawal penjara dan pasukan anti-keganasan terbunuh,” kata pemerhati.

Tujuh orang awam turut terkorban dalam pertempuran di bandar itu yang terbesar di timur laut Syria dan dikawal oleh pentadbiran Kurdish separa autonomi, tambahnya.

Dibantu oleh serangan udara pakatan yang diketuai oleh AS, Tentera Demokratik Syria yang sebahagian besarnya Kurdish berkata semalam mereka menutup kawasan sekitar penjara dan “pejuang IS yang berada di antara pintu penjara tidak boleh melarikan diri lagi”. – AFP