Lelaki cuba selamatkan anak ditemukan lemas

CHUKAI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan anaknya daripada dibawa arus di Lubuk Tapeng, Air Putih dekat sini semalam ditemukan lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mayat Mohd Mirwan Mohd Ramli, 40, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 10.23 pagi, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan polis merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat, penduduk kampung serta orang ramai yang terlibat dalam usaha pencarian,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari semalam, Mohd Mirwan yang bekerja sebagai buruh kilang bersama isteri dan dua anak lelakinya datang ke Lubuk Tapeng untuk memancing dan mandi-manda.

Bagaimanapun kegembiraan keluarga itu bertukar tragedi apabila mangsa yang cuba menyelamatkan anak lelakinya Muhammad Zafran Aidil,12, daripada dihanyutkan arus, tiba-tiba tenggelam manakala anaknya itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok berhampiran. – Bernama