Lelaki diikat rakan serumah selepas cederakan diri sendiri ketika mabuk: Polis

GEORGE TOWN: Polis hari ini memberi penjelasan berhubung paparan video tular seorang lelaki warga asing dipercayai dalam keadaan mabuk diikat dan berlumuran darah di sebuah rumah di Desa Indah, Taman Sri Relau di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan lelaki itu bertindak mencederakan dirinya sendiri ketika sedang mabuk, menyebabkan rakan serumah mengikatnya bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk.

Beliau berkata pada hari kejadian, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada pukul 1.57 tengah hari mengenai satu pergaduhan di rumah itu, dan sebaik tiba di lokasi polis mendapati lelaki warganegara asing itu sudah berada dalam keadaan tangan terikat serta berlumuran darah.

“Rakan serumah lelaki itu memaklumkan kawan mereka itu berada dalam keadaan mabuk yang teruk dan hilang kawalan sehingga dia bertindak mencederakan diri sendiri,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya lelaki itu juga menghantuk kepalanya ke dinding sehingga mengalami kecederaan dan bagi mengelakkan lelaki ini terus bertindak lebih agresif, rakan serumahnya telah mengikat lelaki itu dengan menggunakan tali.-Bernama