Lynas dilarang hasilkan sisa radioaktif tambahan selepas Julai

KUALA LUMPUR: Lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd boleh dibatalkan jika gagal mematuhi syarat yang melarang pengeluaran sisa radioaktif selepas Julai ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang (gambar).

Beliau berkata demikian susulan keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan residu Water Leach Purification (WLP) selepas Julai 2023, aktiviti cracking and leaching (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Chang berkata keputusan itu bermakna Lynas tidak lagi boleh menghasilkan sisa radioaktif tambahan selepas Julai 2023.

“Sekiranya Lynas gagal mematuhi syarat yang dikenakan kepada mereka, lesen itu boleh dibatalkan. Saya minta maaf atas kekecewaan Lynas (terhadap syarat yang dikenakan)…kami hanya meneruskan dasar itu,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Pada 17 Mei tahun lepas, Lynas telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (ketika itu) untuk menggugurkan empat syarat lesen LPTA/A/1333 berkaitan perkara itu.

Selain itu, pada 26 Okt 2022, Lynas telah mengemukakan permohonan pembaharuan lesen yang akan tamat pada 2 Mac 2023 kepada JTA.

“AELB telah meluluskan pembaharuan lesen Lynas untuk tempoh tiga tahun bermula 3 Mac 2023 sehingga 2 Mac 2026,” katanya.

Justeru, Chang berkata semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini pada 3 Mac 2020 hingga 2 Mac 2023 perlu terus dipatuhi oleh Lynas.

“Oleh itu, susulan lanjutan lesen selama tiga tahun itu, Lynas perlu mematuhi syarat yang telah dikenakan sejak Mac 2020 supaya aktiviti C&L yang menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia dan tiada aktiviti C&L dilakukan di LAMP di Gebeng, Pahang selepas bulan Julai 2023.

“Aktiviti lain yang tidak melibatkan penghasilan sisa radioaktif dibenarkan untuk terus beroperasi,” katanya.

Chang berkata sejak beroperasi di Malaysia pada 2012, Lynas telah menghasilkan kira-kira 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif (residu WLP), jumlah sisa ini dijangka akan mencecah 1.2 juta tan metrik menjelang Julai 2023.

“Kerajaan Perpaduan komited dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dan memahami kepentingan industri nadir bumi. Walau bagaimanapun, tidak ada mana-mana pihak yang berhak untuk menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan di tanah air kita,” katanya. –Bernama