Mahkamah persekutuan kekalkan keputusan suri rumah bebas dalam kes bunuh amah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang suri rumah daripada pertuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia empat tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang menolak rayuan pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang mewakili pihak pendakwaan memohon mahkamah mengeluarkan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap S. Ambiga.

Dalam keputusan itu, Hakim Vernon yang mengetuai panel itu berkata hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan budi bicaranya untuk melepas dan membebaskan Ambika.

Beliau berkata pendakwaan harus memberi alasan mengapa ia tidak mahu kes itu diteruskan.

“Kami telah meneliti rekod rayuan, tiada alasan diberikan oleh pendakwaan (di Mahkamah Tinggi), kata Hakim Vernon, sambil menambah perintah DNAA itu hanya boleh dikeluarkan jika alasan yang kukuh diberikan.

Individu yang dilepas dan dibebaskan atas kesalahan, tidak boleh didakwa semula bagi kesalahan sama manakala bagi perintah DNAA, seseorang itu boleh didakwa semula di kemudian hari.

Ambika, 62, didakwa membunuh Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 10 Feb 2018.

Pada 18 April 2019, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan warga emas itu walaupun pihak pendakwaan memohon bagi perintah DNAA. Pihak pendakwaan gagal dalam rayuan mereka selepas ditolak Mahkamah Rayuan pada 2020.

Ambika yang berkerusi roda, hadir di mahkamah.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Mohd Dusuki berhujah bahawa timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu memohon DNAA dan memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menerima arahan daripada pihak atasan agar tidak meneruskan kes itu.

Mohd Dusuki berkata tiada alasan sah yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir untuk melepas dan membebaskan Ambika.

Peguam Datuk Baldev Singh Bhar yang mewakili Ambika, berkata keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas dan membebaskan Ambika adalah wajar dan menggesa mahkamah agar menolak rayuan pihak pendakwaan.

Keterangan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan peguam Ambika, Y. Anbananthan telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 4 April 2019 selepas tiga saksi pendakwaan memberi keterangan.

Pada 18 April 2019, timbalan pendakwa raya memberitahu hakim Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mahu meneruskan perbicaraan pada ketika itu dan tidak dapat memberikan alasan bagi memohon perintah DNAA yang menyebabkan hakim melepas dan membebaskan Ambika di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron dan Nahra Dollah juga hadir bagi pihak pendakwaan. – Bernama