Mangsa banjir di Johor dan Sabah menurun, Pahang meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Sabah merekodkan penurunan manakala Pahang meningkat dengan 219 mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan seramai 2,564 mangsa daripada 718 keluarga direkodkan di enam daerah setakat 8 malam, berbanding 2,660 orang daripada 743 keluarga pada 2 petang tadi.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 31 PPS beroperasi setakat ini termasuk sebuah yang baru dibuka di Batu Pahat.

Mersing mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 839 orang, diikuti Batu Pahat (774), Kluang (422), Kota Tinggi (422), Segamat (92) dan Tangkak (15).

Sementara itu, Mersing dan Kota Tinggi hujan pada malam ini, manakala cuaca di Batu Pahat, Kluang, Segamat dan Tangkak adalah baik.

Sungai Endau, Mersing pula masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.79 meter.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,419 orang daripada 585 keluarga di lima PPS malam ini, berbanding 1,637 orang daripada 642 keluarga petang tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua PPS iaitu Dewan Kampung Kubambangan dan Dewan Kampung Sungai-Sungai di Paitan telah ditutup.

Menurut kenyataan itu, mangsa di Pitas seramai 1,363 orang daripada 565 keluarga dipindahkan ke empat PPS, diikuti Lahad Datu dengan 43 orang (11 keluarga) di satu PPS dan Paitan (13 orang daripada sembilan keluarga) di satu PPS.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan sedikit peningkatan malam ini selepas 219 mangsa daripada 70 keluarga ditempatkan di tiga PPS berbanding 200 orang daripada 63 keluarga petang tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 orang manakala Kampung Denai (27 orang) dan Balai Raya Kampung Jawa (21 orang).

Paras Sungai Keratong di Rompin kekal melepasi paras bahaya namun menunjukkan trend penurunan. – Bernama