Manifesto PN Pahang sedia 12 tawaran

JERANTUT: Manifesto Perikatan Nasional (PN) Pahang bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyediakan 12 tawaran, dengan sebahagian besarnya merujuk keperluan ekonomi rakyat negeri tersebut.

Manifesto bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’ itu dilancarkan Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang, di dataran berdekatan Majlis Daerah Jerantut di sini malam tadi, pada sesi ceramah umum yang turut dihadiri Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Antara inti pati manifesto itu ialah mendukung sistem tadbir urus negeri yang bersih, berintegriti dan cekap, serta mendaulatkan agama.

Selain itu, menyuburkan ekonomi negeri juga menjadi sebahagian manifesto PN Pahang, menerusi pemerkasaan dan merakyatkan industri kecil dan sederhana, termasuk di kawasan FELDA, memperkasa pemilikan rumah serta memperkemas proses libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar menerusi segmen alam sekitar lestari.

Manifesto itu turut menyediakan inisiatif perniagaan yang antara lain bagi membantu belia memulakan perniagaan, memperkasakan usahawan belia, memartabatkan wanita dan warga emas, bantuan perkahwinan dan pengajian buat anak Pahang, serta memperkasa pelancongan dan kebudayaan negeri.

Pada PRU15, PN meletakkan calon di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 15 Nov ialah hari pengundian awal. – Bernama