MAQIS P.Pinang rampas 3,000kg gelatin lembu bernilai RM40,322

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk 3,000 kilogram gelatin lembu dari China, yang tidak mempunyai permit import MAQIS yang sah, Isnin lepas.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata pihaknya mendapati semua gelatin lembu bernilai RM40,322.56 itu yang dibawa masuk untuk gelatin industri tidak mempunyai permit import MAQIS ketika membuat pemeriksaan di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD).

“Kesemua dagangan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728],“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian membabitkan komoditi pertanian, ikan dan haiwan yang diimport mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi menjamin keselamatan makanan, bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat.-Bernama