Mata Hari tamatkan perlumbaan hari pertama RLIR di kedudukan teratas

LANGKAWI: Pasukan Mata Hari memulakan perlumbaan hari pertama Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2023 dengan cemerlang apabila berjaya menamatkan pusingan pertama dan kedua hari ini di kedudukan teratas.

Pada perlumbaan pertama dan kedua kelas IRC1 itu, pasukan dari Malaysia tersebut berada di tempat pertama setelah meraih dua mata, diikuti pasukan Phoenix dari Thailand (empat mata) dan pasukan 79th Endeavour of Whitby dari Australia dengan enam mata.

Sementara itu, pasukan Prime Factor dari Australia di kedudukan keempat dengan sembilan mata; The Blue Angel dari Malaysia (10 mata); Uminoko dari Thailand (11 mata) dan pasukan RMP/DSA dari Malaysia di kedudukan terakhir dengan 14 mata.

Jurumudi Mata Hari, Vincent Chan berkata kelajuan angin yang hanya antara tiga hingga lima knot menyebabkan perlumbaan sepatutnya berlangsung pada 9.30 pagi terpaksa dilewatkan kepada kira-kira 12 tengah hari.

“Mata Hari berdepan saingan sengit daripada pasukan Phoenix tetapi kami berjaya menamatkan pusingan pertama dan kedua di kedudukan teratas dan prestasi perlumbaan hari kedua esok akan bergantung sepenuhnya kepada keadaan angin.

“Kru semuanya bekerjasama dengan baik dan ada beberapa aspek perlu diperbaiki bagi memastikan tiada kesilapan sama berlaku bagi membolehkan Mata Hari terus berada di kedudukan teratas sehingga hari terakhir perlumbaan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, jurumudi pasukan Uranus dari Malaysia, Mohd Zaidey Bahadun yang bersaing dalam kelas Racing bersama satu lagi pasukan dari Thailand THA72 berkata walaupun hanya dua pasukan yang bertanding dalam kelas itu, persaingan tetap sengit dan mencabar.

“Perlumbaan hari pertama Uranus beraksi dengan baik dan dapat merapatkan jarak walaupun saiz bot kami lebih kecil berbanding THA72. Kru semuanya bersemangat dan yakin mampu bersaing dengan baik selaku wakil Malaysia dalam kategori kelas Racing,” katanya.

Pada pusingan pertama dan kedua kelas Racing, pasukan THA72 berada di kedudukan teratas dan mengumpul dua mata manakala Uranus di tempat kedua dengan empat mata.

Sebanyak 25 pasukan tempatan dan luar negara memulakan cabaran pada RLIR 2023 yang berlangsung hingga Sabtu ini, melibatkan lima kategori iaitu kelas Racing, IRC1, Multihull, Boat dan Cruising.-Bernama