MCMC teliti laporan berita dakwa bilangan penjawat awam akan dikurangkan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti laporan berita oleh sebuah saluran televisyen tempatan yang mendakwa bilangan penjawat awam akan dikurangkan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar) berkata hasil penilaian awal perkara itu mendapati pihak berkenaan telah beberapa kali menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

Justeru, beliau menyerahkan perkara itu kepada MCMC dan pihak berkuasa sekiranya ingin melakukan siasatan terhadap pihak berkenaan berdasarkan mana-mana peruntukan undang-undang yang ada ketika ini.

“Bagaimanapun, bagi saya yang penting ada beza antara menerbitkan berita dan menerbitkan fitnah… hak untuk media bebas menjalankan tugas itu memang wujud dan kita pertahankan tapi ia tidak bermaksud ada hak untuk menerbitkan bahan yang tidak benar atau fitnah.

“… MCMC akan memaklumkan kepada saya dalam masa terdekat apakah status (penelitian itu). Jadi kita tunggu dulu hasil siasatan laporan daripada MCMC,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Jelajah Saya Digital @ Lembah Pantai di sini hari ini.

Semalam, Fahmi menerusi hantaran di Twitter berkata kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan laporan Berita 757 oleh Awesome TV kononnya ada cadangan daripada ‘pemerhati’ untuk mengurangkan bilangan penjawat awam.

Beliau turut meminta saluran berita tersebut memberi penjelasan mengenai idea dan cadangan yang dianggap ‘mengarut’ itu.

Sehubungan itu, menteri berkenaan mengingatkan semua pihak untuk berwaspada dalam setiap penerbitan bahan, bukan hanya laporan berita semata-mata, supaya tidak bersifat fitnah dan melanggar undang-undang sedia ada.

Mengulas teguran Laporan Ketua Audit 2021 terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Fahmi berkata beliau telah bertemu dengan pihak pengurusan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Beliau berkata pertemuan itu bagi memahami dengan lebih mendalam sebab kejadian itu berlaku dan tindakan yang perlu diambil untuk mengelakkan ia berulang.

“… contohnya, mereka yang memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah FINAS tidak boleh menerima sebarang geran atau manfaat daripada FINAS dari segi kerjaya mereka.

“Jadi kita sedang bincang pindaan apa yang perlu kepada Akta FINAS supaya Ahli Lembaga boleh berfungsi dengan baik, memahami perkembangan industri perfileman dan pada masa sama masih menjadi daya tarikan untuk menyumbang kepada perkembangan industri filem,” katanya.

Pada 19 Jan lepas, Fahmi dilapor berkata Kementerian Komunikasi dan Digital akan melantik Pengerusi dan barisan Ahli Lembaga baharu bagi menyelesaikan isu yang dihadapi FINAS berhubung teguran audit mengenai pembaziran serta pemberian dana yang dikaitkan dengan perbadanan itu. – Bernama