Melaka mohon sekolah digazet sebagai PPS tidak dijadikan pusat mengundi

MELAKA: Kerajaan Melaka memohon supaya mana-mana sekolah yang digazet sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir tidak dijadikan sebagai pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata ia penting bagi mengelak masalah yang mungkin timbul akibat penggunaan tempat secara serentak.

“Kita dah minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka untuk memastikan di pihak Kementerian Pendidikan, mana-mana sekolah yang terlibat menjadi PPS mungkin tidak boleh dijadikan sebagai pusat mengundi.

“Saya serahkan kepada SPR dan kementerian, bukan sahaja di Melaka, kita yakin dan percaya ada banyak lagi negeri lain, kalau betul-betul banjir berlaku akan menjadi masalah yang lebih besar kalau tempat itu dijadikan tempat mengundi, tempat itu juga dijadikan PPS,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Isi Minyak Motosikal Percuma Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri Paya Rumput di sini hari ini.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput berkata beliau meminta agar JPN Melaka memantau keadaan keselamatan di setiap sekolah bagi memastikan selamat sepanjang masa.

“Saya minta kepada JPN Melaka supaya memantau semua (sekolah) sebab sekolah bukan sahaja menjadi PPS tetapi juga akan menjadi pusat mengundi, jadi yang ini kita perlu pastikan keselamatan pengundi pada waktu dan ketika terutama pada 19 Nov nanti,“ katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov. – Bernama