Mengguna pakai teknologi dalam pendidikan tinggi penting untuk kekalkan daya saing global

SERI ISKANDAR: Mengguna pakai teknologi dalam soal pendidikan, khususnya pengajian tinggi, bukan lagi soal remeh kerana ia sudah menjadi satu keperluan penting untuk mengekalkan daya saing global, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar).

Beliau berkata ini selaras dengan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 yang menggalakkan pembelajaran dalam talian global bagi menyediakan pendidikan yang boleh diakses, sambil menyesuaikan pengalaman pembelajaran dengan keperluan setiap pelajar.

Dalam ucapannya di persidangan International Conference On Advancing And Redesigning Education (ICARE’23) di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini hari ini beliau berkata persidangan dua hari dengan tema “Reshaping Future Education through Digital Transformation” itu selari dengan perubahan pesat yang sedang dilalui dalam sektor pendidikan global.

“Kemajuan teknologi telah memangkinkan perubahan besar dalam cara kita mengajar, belajar dan mentadbir pendidikan.

“Persidangan ini berfungsi sebagai forum yang ideal untuk meneroka dan melaksanakan strategi ini,“ katanya. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Suud.

Mohamed Khalid berkata Kementerian Pengajian Tinggi telah mengusulkan satu Kertas Putih bagi menggerakkan strategi mantap dalam mengenal pasti, membangungkan, mengguna pakai dan menyepadu semua kepintaran teknologi termaju ke dalam sektor pendidikan.

“Kertas putih “A New Horizon for Science, Technology and Innovation – A Strategy for Malaysia” bertujuan menilai secara khusus dan mendalam kesan serta strategi dalam menguruskan pelbagai gangguan teknologi semasa dan masa hadapan terhadap pengajaran, pembelajaran dan tadbir urus institusi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Saya percaya inisiatif ini amat berharga dalam membentuk hala tuju landskap pendidikan kita,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata UTP sentiasa sedar mengenai perubahan, bukan sahaja dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga ketidaktentuan tempat kerja semasa.

“Sehubungan itu kami memastikan bahawa graduan kami telah bersedia untuk masa depan. Kami melakukan ini dengan memastikan asas kurikulum itu kukuh. Kami mencabar pelajar dengan pelbagai projek berlainan dan juga dengan cara kami mengajar.

“Ia bukan lagi sekadar pendekatan mengajar dengan cara bercakap dan menulis di papan hitam, malah sebelum pandemik (lagi), dan menerusi Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETaL), kami kaji cara yang terbaik untuk pelajar kami belajar. Kami latih pensyarah kami untuk memahami bahawa cara pelajar belajar adalah berbeza. CETaL merupakan bukti komitmen UTP dalam mentransformasi dan menginovasi pengajaran dan pembelajaran,“ tambahnya.

ICARE’23 dianjurkan oleh GLU, yang terdiri daripada Universiti Multimedia (MMU), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan UTP sebagai hos.

Anjuran bersama Majlis Ketua-ketua E-Pembelajaran IPTA (MEIPTA), persidangan dua hari yang bermula hari ini turut menyasarkan untuk mewujudkan peluang-peluang kolaborasi dengan penekanan kepada pembinaan hubungan antara akademik dan industri.

Ia juga bertujuan mengukuhkan budaya penyelidikan dalam kalangan pendidik, khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, yang dibahagikan lagi kepada empat landasan utama, iaitu Pembelajaran Teknologi Dipertingkatkan, Kurikulum dan Penawaran Program Inovatif, Pembelajaran Luar Kelas dan Kampus Digital.

ICARE’23 menarik penyertaan kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, graduan dan ahli industri, berkumpul untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam perkembangan terkini serta penemuan baharu penyelidikan dalam pengajaran dan pembelajaran. –Bernama