Menteri kabinet ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Beberapa menteri Kabinet hari ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein(gambar) menerusi catatan di akaun Twitter rasminya menyeru orang ramai agar memaknai ketibaan Syawal dengan memperbanyakkan pujian ke hadrat Allah SWT.

“Ramai bertugas pada 1 Syawal. Jauh dari anak isteri dan insan tercinta,” kata Hishammuddin.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar pula, mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Saya dan keluarga mengambil kesempatan memohon ribuan ampun dan maaf andai ada terkasar bahasa terlanjur bicara dalam urusan seharian kita bersama. Saya doakan semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT selalu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba pula mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard semasa Fasa Peralihan ke Endemik ini dengan mengambil langkah-langkah kawalan seperti menjaga kebersihan dan memakai pelitup muka.

“Semoga Aidilfitri kali ini memberi seribu satu senyuman serta menjadi penyambung puak sesama kita tidak mengira bangsa dan agama. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin,” kata beliau melalui akaun Twitter miliknya.

Turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya ialah Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.-Bernama