MOTAC cadang wajibkan syarikat pengendali umrah sediakan perjanjian dengan jemaah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang mewajibkan setiap syarikat pengendali umrah supaya menyediakan perjanjian dengan jemaah dalam usaha melindungi hak pengguna.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata perjanjian itu antara lain menyatakan terma dan syarat terpakai, jadual, pakej yang ditawarkan berserta peruntukan mengenai ganti rugi sekiranya terdapat salah laku oleh syarikat pengendali umrah atau jemaah.

“Ia adalah selaras dengan Peraturan 6(1A)(d) di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482),” katanya menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai langkah diambil kerajaan untuk menangani isu kenaikan kos mengerjakan ibadah umrah di Arab Saudi, menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Tiong berkata MOTAC melihat secara serius isu peningkatan harga kos umrah melibatkan kos penginapan, logistik dan tiket penerbangan dengan ia didakwa berlaku berikutan permintaan yang tinggi daripada jemaah seluruh dunia.

Beliau berkata pihaknya mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Malaysia Airlines Berhad dan AMAL by Malaysia Airlines pada 31 Jan lepas.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil persatuan pengendali umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendali Pelancongan Bumiputera Malaysia; Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia; dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji.

“Berdasarkan mesyuarat tersebut MOTAC, Kementerian Pengangkutan dan AMAL by Malaysia Airlines akan mengadakan perbincangan lanjut untuk mengenal pasti strategi penyeragaman agihan jualan tiket penerbangan bagi meminimumkan kenaikan kos penerbangan umrah,” katanya.

Beliau berkata secara tidak langsung, ia akan memberi ruang kepada syarikat pengendali umrah mendapat harga tiket penerbangan yang lebih kompetitif untuk ditawarkan kepada jemaah umrah. -Bernama