M’sia berada di landasan betul untuk capai negara berpendapatan tinggi: Menteri Ekonomi

PUTRAJAYA: Malaysia berada pada landasan betul untuk mencapai negara berpendapatan tinggi jika pertumbuhan ekonomi kekal berkembang sekitar antara empat hingga lima peratus, dan nilai ringgit lebih kukuh, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (gambar) .

“Maksudnya jika pertumbuhan ekonomi 2023 sehingga 2025, berada pada sekitar empat hingga lima peratus dan bertumbuh dengan baik, Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal tahun 2026.

“Lebih bagus (jika) pertumbuhan ekonomi kita melepasi kadar lima peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun, aspirasi mencapai negara ke arah negara berpendapatan tinggi akan menjadi lebih awal,” katanya pada sidang media mengenai prestasi ekonomi Malaysia dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 di sini, hari ini.

Selain itu, Rafizi berkata faktor lain adalah tukaran wang asing memandangkan paras negara berpendapatan tinggi adalah dalam dolar Amerika Syarikat iaitu US$15,200.

“Nilai matawang ringgit (sekiranya) lebih mengukuh daripada nilai sekarang, pada paras 4.3 berbanding dolar AS, dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, ia juga akan membantu mempercepatkan status negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Terdahulu, mengenai prestasi ekonomi 2022, Rafizi berkata prestasi pencapaian Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK tahunan sebanyak 8.7 peratus, memberangsangkan dan mencerminkan daya tahan ekonomi negara.

Bagaimanapun, pertumbuhan tahunan yang baik itu perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan suku ke suku…iaitu dari suku pertama 2022 hingga suku keempat 2022 untuk memberi gambaran penuh prestasi ekonomi negara.

“Suasana ekonomi global yang dijangka menyederhana dan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan iaitu jangkaan 2.9 peratus dalam tahun 2023 berbanding 3.4 peratus bagi tahun 2022 akan mempengaruhi prestasi ekonomi negara.

“Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih perlahan pada 2023 dan pertumbuhan suku ke suku yang perlahan selama empat suku berturut-turut dalam tahun 2022, kerajaan sedar keperluan untuk bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar,” katanya.

Beliau memberitahu program ekonomi yang memberi fokus kepada dua perkara pokok ekonomi rakyat iaitu kos sara hidup dan pendapatan akan diberi tumpuan utama dalam perancangan ekonomi.

“Kementerian Ekonomi juga meletakkan kedua-dua perkara ini sebagai fokus penambahbaikan dasar-dasar ekonomi negara dan program-program ekonomi rakyat yang mengambil pendekatan pelaksanaan bersepadu.

“Dasar-dasar melibatkan penggajian rakyat akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri supaya dasar negara diselaraskan ke arah satu sasaran pertumbuhan gaji yang menyeluruh kepada semua golongan pekerja,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat pertama MTEN dijadual berlangsung pada Mac 2023.

Selain itu, Rafizi berkata Kementerian Ekonomi juga akan melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan menambah pendapatan rakyat pada 26 Februari 2023, yang mana sasaran pertama adalah golongan miskin tegar dan keluarga B40 di seluruh negara. –Bernama