Muhammad Ziyad selamatkan kem olahraga

HANOI: Atlet para negara Muhammad Ziyad Zolkefli menjadi penyelamat kem olahraga negara ke Sukan SEA ke-31 hari ini, apabila berjaya menghadiahkan satu-satunya pingat dari acara trek dan padang.

Beliau berjaya meraih pingat gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 17.20 meter (m) di Stadium Nasional My Dinh, hanya kurang 0.09m berbanding rekod 17.29m yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London,

William Morrison III (18.14m) dari Filipina dan Jakkapat Noisri (17.32m) dari Thailand masing-masing meraih emas dan perak, manakala seorang lagi wakil Malaysia Farm Loong Deng menamatkan kempen di tempat keenam dengan lontaran sejauh 16.62m.

Muhammad Ziyad berkata kejayaan hari ini menjadi pemangkin buatnya selepas insiden kehilangan pingat emas kerana lewat tiba ke bilik panggilan ketika temasya Paralimpik Tokyo 2020 Ogos tahun lepas.

“Syukur ke hadrat Ilahi dapat gangsa hari ini, saya dah cuba yang terbaik untuk negara. Cuma boleh sumbang gangsa namun saya sangat berbangga kerana dapat bersaing dengan atlet normal.

“Saya juga gembira kerana mampu mencapai prestasi lontaran yang konsisten kerana dua tiga bulan sebelum ini, prestasi saya teruk tetapi hari ini mampu buat 17m. Apa yang terjadi di Tokyo menjadi pengajaran kepada saya, hari ini saya dah buktikan kepada negara,” katanya selepas majlis penyampaian pingat.

Di Sukan SEA 2017 KL, Muhammad Ziyad meraih gangsa dengan catatan 17.12 m sebelum memperbaikinya ke pingat perak dengan lontaran 17.03m pada edisi lepas di Filipina.

Sementara itu, seorang lagi pemenang pingat perak edisi Filipina, Andre Anura Anuar terpaksa pulang tangan kosong apabila sekadar menamatkan acara lompat jauh lelaki di tempat kelima dengan lompatan 7.24m, selepas beberapa lompatannya dibatalkan berikutan kesilapan teknik lompatan.

Malaysia juga gagal mempertahankan pingat emas lompat tinggi wanita yang dimenangi oleh Yap Sean Yee apabila Ngu Jia Xin meraih tempat kelima dengan lompatan setinggi 1.65m.

Majlis penyampaian hadiah acara olahraga pada petang ini juga dihiasi dengan kenangan manis apabila juara acara lompat jauh lelaki Nguyen Tien Trong dari Vietnam melamar Nguyen Thi Phuong Trinh selepas turun dari podium.

Phuong Trinh, yang juga atlet sepak takraw Vietnam bersetuju dengan lamaran itu dengan menerima cincin dihadiahkan oleh Tien Trong. – Bernama