N. Sembilan mohon peruntukan RM20 juta perkukuh keterjaminan makanan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memohon sebanyak RM20 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2024 bagi memperkukuh projek keterjaminan dan keselamatan makanan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia bagi membantu membangunkan industri pertanian, penternakan dan perikanan serta tanah terbiar sekali gus menjamin bekalan makanan dalam negeri.

“Peruntukan untuk sektor keterjaminan makanan antara yang besar kita mohon, kita dapat gerakkan dengan segera pembangunan pertanian di Negeri Sembilan kalau permohonan yang kita minta itu dapat termasuk boleh luaskan sedikit kawasan padi.

“Keterjaminan makanan di negeri ini perlu diberi perhatian. Ada juga peruntukan untuk, sekolah, tadika dan jalan baharu (Belanjawan 2024), jadi dengan adanya projek berkenaan akan bantu tingkatkan pembangunan negeri sekali gus memastikan negeri dipacu dengan baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Jumaat lepas dilaporkan berkata sebanyak RM400 juta diperuntukan bagi melaksanakan program pengukuhan keterjaminan makanan.

Beliau berkata ia termasuk RM150 juta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan. – Bernama