Nadma kini fokus soal pengurusan pasca bencana

KUALA LUMPUR: Biarpun operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali telah berakhir secara rasmi 12 tengah hari tadi, namun kerajaan akan terus membantu mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata fokus kini terarah kepada pengurusan pasca bencana dan bagi tujuan itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diberikan tanggungjawab untuk melaksanakannya.

“NADMA akan membantu penyaluran bantuan sebaik mendapat data dan maklumat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada semua 92 orang mangsa dan ahli keluarga yang terlibat serta merasa amat berdukacita dengan kematian 31 mangsa.

Pada masa yang sama, Armizan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap semua ahli pasukan bantuan SAR daripada pelbagai agensi kerajaan yang telah bertungkus lumus dalam operasi selama sembilan hari sejak 16 Dis lalu, tanpa mengira penat lelah serta keadaan cuaca.

Ucapan terima kasih turut beliau tujukan kepada kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri selaku Pengerusi JPBD, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku Komander Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Supt Suffian Abdullah dan semua pihak yang terlibat dalam setiap aspek pengurusan bencana tanah runtuh ini.

“Selain pasukan tindak balas bantuan pencari dan penyelamat, pelbagai pihak terlibat di barisan hadapan seperti pasukan bantuan kebajikan dan kesihatan, pasukan teknikal dan logistik, penerangan dan media, badan sukarela dan badan bukan kerajaan (NGO) serta banyak lagi,” kata Amrizan.

Dalam insiden awal pagi 16 Dis lepas, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Pada masa yang sama, Armizan turut mengingatkan kepada semua pihak supaya terus bersiap siaga kerana negara masih lagi belum keluar sepenuhnya dari tempoh fenomena Monsun Timur Laut 2022/2023.

“Sentiasa peka kepada informasi dan amaran, serta perlu patuhi nasihat agensi berwajib demi keselamatan bersama,” katanya.-Bernama