Negeri terkesan banjir kekal dua, jumlah mangsa meningkat: NADMA

KUALA LUMPUR: Bilangan negeri yang terkesan banjir kekal dua, dengan tiga daerah di Perak dan Selangor masih terjejas setakat 4 petang ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam kenyataan hari ini, NADMA memaklumkan seramai 402 mangsa daripada 116 Ketua Isi Rumah (KIR), direkodkan berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding semalam (29 Nov) apabila hujan berterusan petang semalam, mengakibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah Sepang, Hulu Selangor dan Ampang Jaya.

“Dua PPS telah dibuka di daerah Sepang bagi menempatkan 90 mangsa daripada 24 KIR,” menurut kenyataan itu.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menyatakan sehingga 4.30 petang ini, hanya satu sungai merekodkan bacaan paras air di tahap bahaya iaitu Sungai Junjung di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sementara itu terdapat dua sungai di Selangor mencatatkan bacaan air di tahap amaran iaitu Sungai Semenyih di Hulu Langat dan Sungai Bernam, Hulu Selangor.

JPS turut mengeluarkan amaran banjir bagi Terengganu dan Kelantan pada 3 petang ini, melibatkan lembangan Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Besut dan Sungai Golok.

Amaran tersebut dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir, berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir terlibat.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 3.30 petang mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) melibatkan timur Sabah, pantai timur dan Utara Semenanjung dalam tempoh 1 hingga 4 Dis 2022.-Bernama