NRECC bincang dengan pihak berkaitan tambah baik sistem sampah Pasar Selayang

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan berhubung penambahbaikan sistem pembuangan sisa sampah di Pasar Selayang.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Pasar Selayang merupakan antara saluran utama air dan sampah ke Kolam Takungan Banjir Jinjang berdekatan Sungai Batu di sini.

“…yang kita tengok hari ini soal sisa dan ia secara jelas berkait rapat dengan Pasar Selayang (yang kebanyakannya) stirofoam dan botol plastik yang susah dilupuskan sekali gus menyebabkan sampah terus berkumpul.

“Kerajaan ada perancangan untuk (tambah baik sistem pembuangan sisa sampah) Pasar Selayang tapi itu melibatkan kementerian lain. Mungkin akan adakan perbincangan lanjut dengan turut melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kolam takungan berkenaan untuk meninjau kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir dalam musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL), di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata hampir RM1 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan Kolam Takungan Banjir Jinjang yang boleh dikurangkan sekiranya pendekatan menyeluruh diambil bagi menyelesaikan isu sisa sampah berlebihan.

“Ini (RM1 juta) sebenarnya satu kos besar, ia boleh dijimatkan kalau soal sampah dapat diuruskan dengan lebih baik melibatkan peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai, sebab itu pencegahan kena bermula dari peringkat awa. Dah terlewat sekiranya kita tidak mengamalkan sikap bertanggungjawab,” katanya.

Kolam Takungan Banjir Jinjang terdiri daripada Kolam Wahyu, Kolam Delima dan Kolam Nanyang yang mempunyai kapasiti takungan sebanyak 2.5 juta meter padu air dan memberi manfaat perlindungan kepada kira-kira 850,000 penduduk selain melindungi kawasan seluas 120 kilometer persegi daripada risiko kejadian banjir sekitarnya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM2.2 juta untuk beberapa projek berskala kecil sekitar Kuala Lumpur sebagai langkah jangka pendek berdepan risiko banjir.

Katanya, peruntukan berkenaan antaranya bagi kerja-kerja pembaikan, naik taraf dan penyelenggaraan sistem serta kemudahan sedia ada. – Bernama