KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Fasa 2 pada waktu puncak melibatkan 16 lokasi di sekitar ibu negara selama dua minggu bermula Jumaat ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata operasi bersepadu siri kedua itu dilaksanakan susulan maklum balas positif orang ramai sebelum ini terhadap kepatuhan peraturan jalan raya pada siri pertama bermula 1 hingga 31 Julai lalu.
“Seperti mana (yang) saya selalu nyatakan selain daripada kita mahu Kuala Lumpur ini selamat, kita juga mahu mereka patuh kepada peraturan seperti parkir, lampu isyarat, isyarat lalu lintas dan sebagainya.
“Jadi, itulah objektif kita supaya kehidupan di Kuala Lumpur ini lebih teratur dan tiada halangan atau pun sekatan khususnya pada waktu puncak,“ katanya pada sidang media mengenai operasi itu, di sini, hari ini.
Allaudeen berkata pelaksanaan operasi kedua ini melibatkan 16 persimpangan, antaranya, Persimpangan Jalan Tun Razak / Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Tun Razak / Jalan Semarak, Persimpangan Jalan Raja Laut / Jalan Sultan Ismail, Persimpangan Jalan Bukit Bintang / Jalan Raja Chulan dan Persimpangan Jalan Imbi / Jalan Sultan Ismail.
Katanya, selain polis, operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar dengan kekuatan 1,000 anggota dan pegawai. –Bernama