Ops Khas Motosikal: 14,780 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14,780 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, sepanjang Ops Khas Motosikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur yang dilaksanakan sejak 1 Sept hingga hari ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak 11,365 saman dikeluarkan bagi kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Beliau berkata sebanyak 68,257 motosikal diperiksa sepanjang operasi itu, dengan 575 buah motosikal disita dan kesemua tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1986 (Akta 333).

“Operasi khas motosikal ini dilakukan dengan kolaborasi strategik bersama agensi penguatkuasaan lain, untuk mewujudkan literasi dan mendidik penunggang motosikal agar lebin peka terhadap keselamatan di jalan raya, sekali gus mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa,” katanya.

Mohd Zaki berkata demikian dalam sidang media selepas turut melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam operasi khas itu di Plaza Tol Sentul Pasar, di sini, hari ini.

Mohd Zaki berkata selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, pihaknya akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan, bagi mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan berhemah semasa memandu, bagi mengelak berlakunya kemalangan akibat kecuaian serta sikap pentingkan diri.

Beliau berkata operasi itu turut melibatkan kerjasama daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.

“Tumpuan diberikan terhadap penunggang motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah Aka Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan khususnya kesalahan yang menjadi punca utama kemalangan maut,” katanya. –Bernama