Pan Gon tidak bimbang rekod lalu Harimau Malaya di Yangon

YANGON: Ketua jurulatih Hari Malaya, Kim Pan Gon menegaskan beliau tidak bimbang dengan rekod mengecewakan Malaysia dengan Myanmar di sini, menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada aksi pembukaan Kumpulan B, Kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Thuwunna, esok.

Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata perlawanan di tempat lawan sememangnya satu cabaran besar kerana pasukan tuan rumah akan menggunakan semua kelebihan untuk meraih kemenangan di hadapan penyokong mereka sendiri.

Bagaimanapun, Pan Gon berkata skuad Harimau Malaya sudah bersedia sepenuhnya dan berkeyakinan tinggi untuk membawa pulang keputusan positif.

“Saya ada pengalaman beberapa kali bermain menentang Myanmar, saya rasa pemain mereka sangat mahir dan mereka mempunyai beberapa pemain yang menarik dengan kemahiran individu tetapi saya tidak mempedulikan prestasi atau keputusan sebelum ini.

“Kami memberi tumpuan kepada siapa kami dan kami kuat, kami juga bersedia sepenuhnya untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan saya percaya pemain tidak sabar untuk perlawanan esok.

“Saya percaya pemain akan memberikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Dalam empat pertemuan terakhir di sini dalam semua pertandingan sejak 2008, Malaysia kalah tiga kali dan seri sekali sebelum skuad Harimau Malaya menang 3-0 semasa peringkat kumpulan Piala AFF pada 2018.

Pan Gon berkata meraih tiga mata menentang Myanmar adalah sangat penting sebelum mereka menentang Laos di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 24 Dis diikuti dengan dua perlawanan penting menentang Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan Singapura (3 Jan) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sangat penting (untuk mendapatkan tiga mata pertama), kami mempunyai sasaran tertentu tetapi kami akan cuba yang terbaik dan kami tahu ia sangat penting, semua orang tahu ia sangat penting dan akan berjuang untuk mendapatkannya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Myanmar, Antoine Hey teruja untuk membimbing pasukannya beraksi di gelanggang sendiri buat pertama kali dalam masa tiga tahun.

Beliau berkata ia memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kebolehan sebenar dan keputusan yang boleh mereka capai jika mendapat sokongan yang sewajarnya.

“Kami sangat gembira untuk bermain di laman sendiri semula selepas tiga tahun, ia adalah peluang yang baik untuk kami menunjukkan apa yang kami boleh lakukan. Kami memulakan latihan beberapa minggu lalu dan bermain beberapa perlawanan persahabatan serta perlawanan latihan,” katanya.

Jurulatih berusia 52 tahun dari Jerman itu berkata anak buahnya berusaha keras dalam sesi latihan dan mantap dari segi kecergasan serta cukup bersedia,bermotivasi tinggi serta tidak sabar untuk aksi pembukaan esok.-Bernama