PAS tawan kesemua 14 kerusi parlimen di Kelantan

KOTA BHARU: Kesemua calon yang bertanding atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kelantan menawan keseluruhan 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri itu.

Kejayaan itu menyaksikan parti gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS memenangi sembilan kerusi manakala Bersatu menawan lima kerusi.

Empat belas kawasan Parlimen terbabit ialah Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Ketereh, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Fakhrul Razi Ab Wahab berkata proses pengundian di negeri itu berjalan lancar dengan 70 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.

“Kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dimenangi oleh parti PAS. Keputusan awal yang kita peroleh ialah bagi Parlimen Pasir Puteh pada 10.35 malam manakala keputusan terakhir adalah untuk Parlimen Kubang Kerian pada 12.18 tengah malam,“ katanya pada sidang media di Wisma Persekutuan di sini.

Sementara itu, Pengerusi PN Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kejayaan PAS dan Bersatu sebagai membuktikan bahawa pengundi tidak melihat kepada parti atau calon yang bertanding, sebaliknya memberi tumpuan kepada manifesto yang dibawa oleh gabungan parti berkenaan.

“Saya melihat anak-anak muda Kelantan telah memberi kerjasama yang tinggi. (Kemenangan) ini juga memaparkan mesej daripada kalangan anak muda.

“Justeru itu, PAS akan terus memberi khidmat terbaik atas nama PN kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Kelantan di sini.

Dalam pada itu, Fakhrul Razi berkata pihaknya turut menerima permohonan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah supaya pengiraan semula undi dibuat bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun, katanya, SPR menolak permohonan itu dengan alasan pengiraan semula tidak boleh dibuat di pusat penjumlahan rasmi undi.

“Pengiraan semula hanya boleh dibuat di saluran sekiranya majoriti yang diperoleh pemenang kurang daripada empat peratus.

“Sekiranya tidak berpuas hati, calon kena buat petisyen pilihan raya berdasarkan asas tertentu,“ katanya.

Tengku Razaleigh, yang memperoleh 21,663 undi, tewas kepada calon PAS-Bersatu Datuk Mohd Azizi Abu Naim, yang menang tipis dengan majoriti 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi. – Bernama