Pasukan Khas Jihad tangani Inflasi digesa tegas terhadap peniaga melampau

PETALING JAYA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi digesa meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti mengaut untung oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Bakal Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan mesti dilihat bertindak tegas terhadap peniaga-peniaga yang melampau.

“Kami telah menerima banyak maklum balas bahawa sesetengah peniaga menaikkan harga, dalam beberapa kes melebihi harga siling yang ditetapkan oleh Kerajaan. Kerajaan mesti dilihat bertindak tegas terhadap peniaga-peniaga ini dan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Zuraida menyambut baik penubukan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi demi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Pasukan yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

“PBM optimis bahawa usaha pelbagai kementerian ini dapat membantu membendung inflasi pada kadar yang boleh diurus,” tambahnya.

Ujarnya, berbanding dengan negara lain termasuk negara maju, Malaysia mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membendung tekanan inflasi.