PEDi jadi pusat perekayasaan kemajuan keluarga M’sia dan negara: Annur Musa

KUALA PERLIS: Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) bukan hanya pusat internet sahaja, malah ia bakal menjadi pusat perekayasaan yang membawa manfaat besar kepada Keluarga Malaysia dan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa(gambar).

Beliau berkata PEDi menjadi satu jaringan nasional yang akan merancakkan peningkatan keupayaan penggunaan aplikasi, keberadaan jalur lebar di sesuatu kawasan, serta melatih orang ramai menjadi pencipta kepada kandungan digital.

“Jika dahulu kita beri tumpuan kepada Keterhubungan, namun sekarang penumpuan beralih kepada kepenggunaan kemudahan iaitu mewujudkan kandungan-kandungan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi-pengerusi PEDi di negeri ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Annuar berkata beliau berharap PEDi akan menjadi pemangkin kepada usaha membawa rakyat terlibat dalam ekonomi digital termasuk kepada mereka yang baru bermula dan anak-anak muda khusunya di luar bandar.

Katanya kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan RM200 juta bagi menambah 167 buah lagi PEDi di seluruh negara dan tender bagi pembinaan pusat itu kini dalam proses.

“Negara kini harus mula menekankan kepada soal aplikasi agar rakyat dapat menggunakan perkhidmatan jalur lebar dalam hal-hal yang boleh menambah pendapatan, mengubah cara hidup dan seterusnya mencipta kandungan-kandungan digital yang berguna,” katanya.

“Insya-Allah pada masa akan datang, PEDi akan mempunyai bangunan sendiri yang menjadi hab yang mampu memberi kemudahan internet dalam lingkungan satu kilometer dari bangunan itu,” katanya.

Annuar berkata perkara itu kini dalam proses kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).-Bernama