Pemberian subsidi bantu tingkatkan pengeluaran telur ayam

JASIN: Pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur dijangka dapat memulihkan semula operasi pemain industri bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus mengatasi masalah kekurangan telur ayam di pasaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata isu kekurangan bekalan itu dihadapi berikutan pemain industri tidak dapat menambah pengeluaran di kilang mereka kerana berdepan kerugian akibat peningkatan kos yang sangat tinggi termasuk bahan mentah.

“Menerusi lawatan demi lawatan selain perbincangan bersama kementerian, kita mengesahkan sememangnya penternak berdepan masalah itu dan kerajaan telah ambil langkah menaikkan subsidi bagi memastikan keperluan rakyat tidak terjejas.

“Kita percaya masalah ini akan pulih dalam tempoh empat bulan selepas subsidi baharu seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini sedang dalam proses pengaturan dengan pihak industri,” katanya kepada pemberita di Sungai Rambai di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) dan Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Ahmad berkata sejak Februari lepas, kerajaan telah memberi dan menaikkan subsidi telur ayam selain meneruskan pemberian itu dari Oktober hingga Disember berikutan kenaikan kos operasi ditanggung pengeluar.

“Pengeluar telur telah buat pengaduan kepada kerajaan mengenai keadaan mereka tanggung yang saya lihat agak ‘parah’ dan kerajaan mengambil langkah itu untuk memastikan kelangsungan serta bekalan di pasaran terjamin dengan harga berpatutan untuk memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya.

Media melaporkan kerajaan meneruskan pemberian subsidi kepada penternak dan pengeluar telur ayam dari Oktober hingga Disember membabitkan kadar 80 sen bagi sekilogram ayam, manakala lapan sen bagi sebiji telur dengan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harga siling kedua-dua bahan berkenaan. – Bernama