Pemilik kedai kopi dilaporkan hilang

IPOH: Seorang pemilik kedai kopi terkenal di sini dilaporkan hilang selepas keluar dari kedainya di Jalan Sultan Iskandar di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata Kamarudin Daud, 58, dilaporkan kali terakhir dilihat ketika keluar dari kedai kopi miliknya kira-kira pukul 9.20 pagi.

Beliau berkata menurut laporan daripada menantu lelakinya yang berusia 26 tahun, bapa mentuanya keluar dengan membawa barang peribadi dan sebuah beg.

“Kebiasaannya mangsa keluar untuk membeli barang sahaja tetapi sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih tidak balik ke kedai dan rumah.

“Mangsa dilihat kali terakhir memakai kemeja-T berwarna hitam dan hijau dan bertulis ‘Islam’ berwarna hijau,“ katanya dalam kenyataan malam ini.

Yahaya berkata tiada rekod mangsa dimasukkan atau didaftarkan di mana-mana hospital termasuk Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan hospital swasta berhampiran.

“Ini adalah kali pertama mangsa keluar dari rumah tanpa memberitahu apa-apa dan kemungkinan mangsa merajuk dan berlaku selisih faham antara keluarga.

“Namun punca sebenar mangsa keluar dari rumah masih tidak dapat dikenal pasti,“ katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.-Bernama