Pemilik syarikat didakwa salah guna dana Mitra

ALOR SETAR: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan dana peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) pada Februari tahun lepas.

K.C. Ramananaidu, 32, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Ramananaidu didakwa menyalahgunakan wang tunai RM100,000 kepunyaan Kerajaan Malaysia menerusi Unit Mitra bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India B40 di Malaysia melalui bidang pertanian.

Dia dituduh berbuat demikian di Agrobank Berhad Cawangan Sungai Petani, No. [email protected] Jalan PPZ 1, Pusat Perniagaan Zamrud, Kuala Muda pada 26 Feb 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau dengan sebatan dan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan agar tidak mengganggu saksi kes berkenaan serta perlu hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam Miguel Sequerah.-Bernama