Pemimpin BN, PN adakan pertemuan di ibu negara?

KUALA LUMPUR: “Tidak tahu lagi” itu reaksi ringkas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) ketika diajukan tujuan kehadirannya di sebuah hotel di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno tiba di hotel berkenaan sebelum 3 petang, dipercayai ada kaitan pertemuan antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Kelihatan menyusul tiba di hotel berkenaan secara berasingan adalah Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan pada 3.04 petang, manakala Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee pula dilihat datang dengan sebuah kenderaan pada pukul 3.15 petang.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau tiba di hotel berkenaan pada 2.40 petang.

Kebuntuan berhubung pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlarutan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov apabila tiada parti atau gabungan parti politik yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, Pakatan Harapan (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. -Bernama