Penempatan haram: Pemilik tanah perlu bertanggungjawab

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan pemilik tanah persendirian perlu bertanggungjawab dan mengambil perhatian dengan perkara yang berlaku di kawasan masing-masing.

Beliau berkata susulan kes serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) terhadap penempatan haram di Nilai Spring baru-baru ini, pemilik tanah tersebut tidak sepatutnya menggunakan alasan tidak tahu mengenai perkara yang berlaku.

“Kita perlu bertanggungjawab dan tidak boleh membiarkan harta atau tanah digunakan oleh pihak lain dengan alasan kita tidak tahu sedangkan perkara itu sepatutnya diberi perhatian.

“Saya yakin tanah tersebut hendak dibangunkan dan mereka tahu apa yang berlaku pada kawasan itu jadi saya berharap perkara ini tidak berulang lagi, kerajaan negeri ambil serius perkara ini walaupun bidang kuasa terletak di peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pegawai Daerah Seremban Mohd Nizam Tajul Arus berkata penempatan haram pendatang tanpa izin yang diserbu JIMNS di Nilai Spring, Nilai baru-baru ini dibina atas tanah milik persendirian dan pemiliknya kemungkinan tidak menyedari perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Sekarang masih dalam siasatan, jika betul, ambil tindakanlah jika tidak (tiada isu salah laku dan rasuah) maklum kepada masyarakat apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut. – Bernama